Monday 5 September 2016

KEPENTINGAN EMAS KETIKA GAWAT

Credit: Mohd Zulkifle Shafie

Emas bukan barang keperluan, sama macam duit kertas juga. Ia hanyalah penyimpan nilai dan dijadikan medium transaksi sahaja.

Kalau berlaku kegawatan ekonomi, orang perlukan barang keperluan untuk terus hidup. Duit atau emas tidak berguna lagi waktu itu.

Sebagaimana musim banjir yang menenggelamkan negeri Kelantan hujung 2014 dulu. Kami sekeluarga juga antara yang terperangkap 5 hari terputus hubungan dengan dunia luar. Kami perlukan makanan, lilin, susu anak, pampers dan lain-lain keperluan termasuk petrol untuk motosikal bergerak bagi memerhati perkembangan banjir (sebab tiada line telefon, tv, radio dll. Handphone pun tak boleh guna sebab dah habis bateri dan tiada elektrik untuk recharge).

Dalam keadaan gawat begitu, duit (atau emas) tidak begitu ‘bernilai’ bagi kami. Kami sanggup bayar harga yang mahal untuk dapat barang keperluan. Kami nak barang keperluan, bukan nak duit. Bahkan banyak pekedai pun tak jual barang-barang dikedai mereka. Itu ‘rizab’ mereka kalau-kalau banjir berpanjangan.

Susah betul nak dapatkan barang keperluan.

Untuk dapatkan keperluan petrol sahaja, saya terpaksa kayuh basikal meredah banjir sejauh 30 kilometer. Sampai di stesen minyak Ketereh, stesen itu juga kehabisan minyak! Kalau saya mahu dapatkan juga, saya perlu terus kayuh lagi 30 kilometer untuk membelinya di Pasir Puteh!

Tiba-tiba saya ternampak dua remaja bermotosikal sedang membawa segalen petrol. Saya dah tak larat kayuh lagi. Dalam poket saya cuma ada RM45. Saya panggil remaja tu dan bayar RM40 kepada mereka hanya untuk segalen petrol sahaja!

Duit tidak begitu bernilai disaat itu...

Dalam situasi matawang tidak bernilai pula, ia berbeza.

Untuk dapatkan barang keperluan, kita perlu membayarnya dengan sesuatu yang bernilai sebagai ALAT TUKARAN. Kalau duit tidak lagi bernilai, apakah alat tukaran yang diterima oleh semua sebagai sesuatu yang bernilai?

Tentunya emas (dan perak).

Semua orang pada setiap zaman percaya emas adalah barang bernilai. Ia boleh dipecah-pecahkan mengikut berapa kecil pun saiznya untuk dijadikan alat tukaran.

Ia bukan benda baru. Ia telahpun dijadikan penyimpan nilai sejak zaman-berzaman lagi.

Sebab itu pakar kewangan Tuan Azizi Ali sarankan, setiap kita perlu simpan emas at least 10% daripada nilai kekayaan kita sebagai ‘insuran’. Kalau berlaku gangguan ekonomi atau politik, penyimpan emas juga akan susah, tetapi sekurang-kurangnya simpanan emas itu tak terjejas. Bahkan, ia boleh digunakan sebagai alat tukaran dan membina semula kehidupan selepas gawat.

#wangemas #emasmediumtransaksi #emaspenyimpannilai #simpanemas

No comments:

Post a Comment